Semulajadi semestinya Selamat?
Seringkali dalam memilih rawatan, masyarakat cenderung untuk
memilih sesuatu rawatan yang dipercayai selamat. Komuniti moden zaman ini
membawa pencarian ilmu dan pengembangan informasi ke suatu revolusi yang lebih
segar.
Kemudahan teknologi di hujung jari manjadikan majoriti masyarakat lebih
peka dengan makanan, persekitaran dan dan kehidupan yang lebih berkualiti
termasuklah rawatan terhadap sebarang penyakit yang selamat.
Dari zaman berzaman, dahulu hingga kini, masyarakat Malaysia
masih lagi berpegang pada satu persepsi yang hampir serupa dalam memilih
rawatan.
Kajian menunjukkan Masyarakat Malaysia memilih untuk percaya bahawa bahan-bahan Semulajadi atau Tradisional adalah lebih selamat jika dibandingkan dengan Perubatan Kimia Moden dan ini langsung membawa kita kepada kupasan utama artikel ini, adakah semulajadi semestinya selamat?
Semulajadi secara umumnya membawa makna, sesuatu produk itu
terlindung dari sebarang campuran Kimia Moden, dan lebih berunsurkan kepada tumbuhan-tumbuhan
yang hasilnya bukan dari buatan manusia.
Dan seringkali juga, Rawatan secara
semulajadi dikaitkan dengan Ubatan Tradisional Komplimentari. Berdasarkan
Takrifan Akta Perubatan 1971, ubatan tradisional Komplementari adalah ubatan
yang diamalkan bersama, selain amalan perubatan atau pembedahan oleh pengamal
perubatan berdaftar.
All-Natural
Semulajadi
Tiada Kesan Sampingan
Kita cukup biasa dengan wadah-wadah pemikat hati ini bukan?
Jika ada saja iklan atau penjual yang memaparkan imej 'semulajadi', terus kita
memberi anggapan segalanya selamat.
Lambakan produk yang berasaskan bahan-bahan
semulajadi ini sangat popular di kalangan masyarakat malaysia dan seringkali
menjadi pilihan ramai kerana majoriti masyarakat meletakkan persepsi positif
tentangnya.
Tapi betulkah semulajadi itu semuanya selamat?
Tidak dinafikan, Ubatan Tradisional Komplementari yang telah
digunakan secara turun temurun berdasarkan pengalaman dan pemerhatian
orang-orang yang terdahulu telah membawa kepada satu revolusi baru dalam
mencari penawar untuk penyakit-penyakit yang kita alami.
Kebanyakan dari
penemuan ini menjadi pemangkin kepada cetusan kajian terhadap bahan semulajadi
dalam mewujudkan ubatan baru yang lebih kita kenal sebagai ubatan moden.
Sepertimana yang kita sedia maklum, ubatan moden banyak
digunakan dalam merawat dan mengubati pelbagai penyakit. Keberkesanan dan
keselamatan ubatan moden telah dikaji secara menyeluruh secara Saintifik dan
juga Klinikal namun, tahukah anda bukan semuanya ubatan moden diperbuat dalam makmal,
lebih banyak lagi yang terhasil bersumberkan tumbuhan.
Ya, betul, sebahagian besar dari Perubatan Kimia Moden yang
dihasilkan sekarang adalah bersumberkan dari tumbuh-tumbuhan yang telah
diekstrak dan dipadukan menjadi bentuk Tablet, Kapsul ataupun sirap.
Ambil contoh ubat Aspirin yang biasa kita dengar untuk
merawat pesakit yang mengalami masalah Acute Coronary Syndrome (ACS). Ubat ini
adalah pada asalnya digunakan untuk merawat kesakitan dan inflamasi akibat
kecederaan.
Saintis terkenal Hippocrates kira-kira 100 tahun dahulu pernah
menggunakan Willow Bark (yang mempunyai komponen Aspirin) untuk mengurangkan
kesakitan pesakit sewaktu bersalin.
Bila dikaji lebih fokus lagi, Saintis
mendapati bukan sahaja sebagai penahan sakit, Aspirin juga sangat sesuai
digunakan untuk mencairkan darah dan boleh memberi impak yang sangat berkesan
dalam mengurangkan risiko Strok kepada pesakit yang mengalami masalah ACS.
Namun, tahukah anda, Aspirin ini bukanlah Diformulakan dari dalam makmal
melalui cetusan dan campuran Kimia semata-mata, ianya sebenarnya adalah ekstrak
dari sejenis tumbuhan semulajadi yang bernama Willow Tree!
Jika begitu hakikatnya, dari mana pula datangnya penyataan bahawa Semulajadi sentiasa selamat sekiranya Ubatan Kimia Moden dan Ubatan Tradisional yang digunakan bersumberkan dari tumbuhan yang sama?
Bahan-bahan dari
unsur semulajadi tidak terkecuali dari merekodkan kesan sampingan yang tidak
diingini.
Sebagai contoh, kebiasaan
amalan masyarakat kita dalam mengaplikasikan bawang putih untuk tujuan
kesihatan namun kemudiannya kajian mendapati bawang putih boleh menyebabkan
masalah gangguan gastrik dan juga boleh meningkatkan risiko pendarahan.
Bunga
Chamomile yang biasa digunakan sebagai bahan minuman berdasarkan kajian juga
boleh menyebabkan beberapa kesan alergi yang serius.
Selain itu, supplemen
terkenal, Gingko Biloba yang banyak digunakan dalam makanan supplementari pula
boleh menyebabkan rasa loya, muntah, pening dan pendarahan yang di luar
jangkaan.
Apakah bezanya antara Ubatan Kimia Moden dan Ubatan Tradisional Komplementari?
Beza utamanya adalah jumlah kajian yang dilakukan kepada
kedua-dua Ubatan Kimia Moden dan Ubatan Tradisional Komplementari sebagai
penentuan ianya selamat dan berkesan untuk digunakan sekaligus memberi
pengelasan indikasinya seperti contoh ubat untuk demam, selsema, mengurangkan
darah tinggi, mengawal gula dalam darah dan sebagainya.
Untuk Ubatan Kimia Moden, Kajian secara Saintifik dan
Klinikal adalah suatu kemestian sebelum diluluskan penggunaannya dalam merawat
sesuatu penyakit. Kajian klinikal akan melibatkan ujian yang dijalankan
sehingga ke 100 orang untuk Fasa Pertama, beberapa ratus orang untuk Fasa
Kedua, sehingga ke 3000 orang untuk Fasa ketiga dan Fasa Keempat yang
melibatkan lebih dari 3000 orang sebelum diluluskan keselamatannya,
keberkesanannya dan pengkelasan indikasinya sebagai ubat rawatan.
Persoalannya, adalah ubatan tradisional yang kita diperkenalkan di ruang-ruang iklan TV, pamplet dan Testimoni-testimoni dari pelbagai golongan menjalani proses Kajian yang sama?
Jika tidak, apa pula Validasinya untuk membuktikan keselamatan dan keberkesanan indikasinya itu?
Beberapa faktor yang boleh menjadikan produk itu tidak selamat :
1. Tiada pengesahan keselamatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Resepi utama dalam menentukan keselamatan sesuatu ubatan
adalah terdapatnya MAL nombor yang menandakan ubat tersebut telah disahkan
selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Adalah sangat penting bagi
pengguna memastikan setiap bahan yang kita gunakan adalah selamat dan tidak
memudaratkan.Penanda utama produk tersebut selamat adalah dengan adanya
pengesahan dari KKM berlogo hologram dan nombor MAL yang disahkan.
Pihak KKM
akan memeriksa kualiti dan keselamatan produk tersebut termasuklah memastikan
tiada bahan-bahan terlarang seperti Merkuri, Plumbum atau Kadmium yang
digunakan dalam produk berada dalam batasan kandungan yang dibenarkan.
2. Kandungan produk yang mempunyai interaksi dengan ubatan sedia ada.
Beberapa ubat telah dikaitkan dalam memberi interaksi bila
digunakan secara bersama. Contohnya penggunaan Ubatan Warfarin dengan gingko
biloba atau john's wort terbukti boleh memberikan kemudaratan pendarahan yang
serius.
3. Kandungan bahan yang tidak dijelaskan dengan terperinci
Maklumat tersembunyi yang tidak diterangkan secara jelas
dalam perincian produk. Sebagai contoh, sesetengah produk tidak mempamerkan
kandungan merkuri atau alkohol yang terkandung dalam produk mereka dengan
tujuan memperdaya pelanggannya.
Kalau anda masih ingat, beberapa produk yang kerapkali
iklannya dimainkan di kaca tv sehingga hari ini juga tidak terlepas dari
ditarik balik kerana mengandungi kandungan Merkuri lebih dari dibenarkan.
Pengambilan bahan makanan semulajadi ataupun ubatan
supplementari adalah lebih baik untuk sentiasa bersederhana dan tidak
berlebih-lebihan.
Saya gunakan contoh yang cukup mudah, nasi atau minuman manis
yang kita makan dan minum setiap hari juga boleh memudaratkan jika diambil
secara berlebihan dengan memberikan kesan gula dalam darah yang melebihi paras yang sepatutnya.
Bukan sekadar jenis Bahan Makanan yang kita makan akan memberi kesan, kuantiti yang kita ambil juga memberi kesan yang lebih kritikal lagi.
Sepertimana keberkesanan setiap ubat yang kita makan bergantung kepada
Dosnya, begitu jugalah makanan samada semulajadi atau tidak dipengaruhi oleh
Kuantiti yang diambil.
Produk yang dinamakan semulajadi tidak bermaksudnya ianya bebas dari kesan sampingan.
Jadi, adalah sangat penting untuk kita sentiasa
memastikan ubatan yang dimakan adalah berdaftar dengan pihak kementerian.
Pengguna perlu lebih kritis dalam memilih rawatan dan produk yang selamat dan
bersesuaian dengan diri masing-masing dan tidak mudah jatuh terpedaya dengan
umpan-umpan dari produk tidak berdaftar yang hanya ingin melariskan jualan
mereka.
Comments
Post a Comment