Di Sebalik Kaunter Pendispensan Farmasi yang anda tak akan percaya!
"Nombor 153, sila datang ke Kaunter Pendispensan"
Aduhh, baru nombor 153? Nombor Giliran aku 162. Lagi 9 orang. Lambatnya!
Kaunter ada 5, tapi kenapa lambat juga ni? Asyik bersembang je la tuh!
Pernah dengar situasi ini?
Atau anda sendiri yang mengalaminya?
Kaunter ini kebiasaan akan berada di tempat umum mudah akses samada di Hospital Kerajaan, Klinik Kerajaan, Hospital Swasta, Klinik Swasta dan juga Farmasi Komuniti. Proses dan prosedur di setiap fasiliti mungkin berbeza, namun, matlamat dan sasaran utama yang perlu dicapai tetap sama iaitu memastikan Pembekalan ubat yang tepat menurut amalah 5s iaitu Pengguna Ubat yang Betul, Ubat yang betul, Dos yang Betul, Cara Pengambilan Ubat yang Betul dan Masa Pengambilan Ubat yang Betul.
Penerangan kali ini memberi lebih penekanan kepada Proses yang berlaku di Hospital Kerajaan yang sepatutnya menjadi panduan utama mana-mana kaunter pendispensan farmasi.
Proses Pertama : Saringan Preskripsi
Pesakit kebiasaannya akan membawa surat preskripsi yang diterima selepas didiagnos doktor ke Kaunter Farmasi untuk mendapatkan ubatan.
Pesakit akan beratur di laluan penyerahan preskripsi untuk mendapatkan nombor giliran dan seterusnya menunggu giliran dipanggil untuk mendapatkan ubat.
Preskripsi yang diterima akan diserahkan kepada Pegawai Farmasi untuk disaring.
Apa yang disaring?
Proses Saringan ini memerlukan fokus di samping ketepatan masa kerana saringan perlu cepat dan tepat bagi mengelakkan barisan yang panjang di kaunter.
Sekiranya terdapat sebarang kesalahan, preskripsi akan diasingkan untuk pembetulan dan klarifikasi. Antara kesalahan yang biasa dikesan adalah kesalahan dari segi dos dan frekuensi ubat, tempoh ubat perlu dimakan, interaksi antara ubatan, dan kebenaran menggunakan ubatan terkawal.
Dan jangan terkejut, ada juga kes di mana preskripsi yang dibawa pesakit adalah preskripsi dengan nama pesakit yang lain!
Jadi, jangan berasa janggal kalau setiap kali nombor giliran anda dipanggil, pegawai farmasi tersebut akan bertanya nama anda sekali lagi untuk tujuan klarifikasi.
Proses Kedua : Pembetulan dan Klarifikasi
Kaunter Pendispesan Farmasi adalah tapisan terakhir antara anda dengan ubatan yang tepat.
Jadi, di sini tiada sebarang kesalahan boleh berlaku, kerana sebarang kesilapan dalam ubatan anda boleh memudaratkan.
Antara contoh Pembetulan dan Klarifikasi perlu dibuat adalah dos yang salah atau kurang tepat terutamanya dos kanak-kanak yang memerlukan pengiraan tepat berdasarkan berat sebenar, dan durasi ubatan yang melebihi tempoh sepatutnya seperti penggunaan Steroid atau Antibiotik yang berlebihan dari kebiasaan yang ditetapkan.
Ahli Farmasi akan menghubungi Doktor yang menulis preskripsi tersebut dan meminta klarifikasi mengenai apa-apa yang luar dari kebiasaan.
Proses Ketiga : Pelabelan
Label secara manual :
Cara pelabelan ini adalah dengan menulis tangan semua maklumat pesakit.
Nama pesakit, tarikh, dos dan frekuensi kesemuanya dilabel secara menulis tangan.
Kelebihan sistem ini adalah kurang kebergantungan kepada teknologi yang mungkin mempunyai limitasi kewangan, system down dan sebagainya.
Kekurangan sistem ini pula adalah tulisan yang tidak jelas dan sekata yang mungkin disalah intrepertasikan oleh pesakit sekaligus menyumbang kepada medication error
Label secara Perkomputeran (PHIS) :
Ini adalah sistem canggih terbaru yang diperkenalkan kerajaan dengan tujuan utama keselamatan dalam memakan ubat dan sistem pemantauan yang lebih cekap.
Sistem ini bukan sahaja membolehkan setiap label dicetak kemas berkomputer, malahan setiap transaksi akan direkod dan boleh disemak kembali pada kemudian masa.
Selain itu, sistem ini telah dikemaskinikan untuk merekodkan kesemua sejarah perubatan pesakit termasuk kos-kos yang terlibat dalam setiap transaksi.
Jadi, bila-bila temujanji pesakit yang berikutnya, sejarah perubatan pesakit akan terperinci dipaparkan.
Jaga-jaga, pesakit-pesakit yang gagal memenuhi arahan pemakanan ubat juga boleh dikesan melalui sistem ini!
Proses Keempat : Penyaringan Kedua
Apa yang dilakukan di peringkat ini?
Pegawai tersebut memikul tanggungjawab yang besar memastikan setiap informasi berkaitan pesakit dan ubatan termasuk klarifikasi dan pembetulan dengan Doktor telah dibuat dengan tepat selain tidak membatasi keperluan masa yang ditetapkan
Sekiranya terdapat sebarang proses yang tidak tepat atau tertinggal, segala urusan akan diulang semula untuk memperbetulkannya.
Proses Kelima : Pendispensan ubat
Nombor giliran yang diberikan kepada pesakit akan dipanggil dan nama akan ditanya untuk tujuan klarifikasi.
Komunikasi antara Staf jabatan Farmasi dan pesakit berlaku paling lama di peringkat ini.
Setiap dos, frekuensi, cara pemakanan, kaunseling ubatan dan interaksi antara ubatan dan makanan akan diterangkan dengan teliti di peringkat ini.
Pastikan pesakit pulang dengan kefahaman yang menyeluruh selepas setiap proses pendispensan. Kegagalan memahami cara pemakanan boleh memudaratkan.
Sekiranya pesakit ada sebarang masalah atau tidak memahami apa-apa isu berkaitan ubat, peringkat inilah yang paling sesuai untuk bertanya.
Tahukah anda apa itu perkhidmatan Tambah Nilai (Value-added-services) Hospital Kerajaan dalam Pendispensan ubat ?
Satu demi satu inisiatif ditelitikan dan didokumentasikan sebagai wacana kelancaran urusan kepada pesakit yang datang.
Senarai di bawah adalah perkhidmatan yang boleh anda mohon kepada Fasiliti kerajaan yang anda berurusan:
1. Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB)
Kini segalanya menjadi mudah dengan SPUB!
Anda sekadar perlu memberitahu kepada Fasiliti Rujukan anda tempat yang lebih mudah untuk anda datang temujanji ubat, dan kami akan dokumenkan, seterusnya akan poskan kepada fasiliti tersebut!
Anda hanya perlu hadir di Fasiliti yang anda pilih mengikut tarikh temujanji.
Mudah kan!
2. Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP 1Malaysia)
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad mewujudkan perkhidmatan ini bagi menghulurkan kemudahan kepada pesakit-pesakit yang menghadapi kesukaran dan mengurangkan jarak perjalanan pesakit bagi mendapatkan ubatan.
Caj kiriman adalah ditanggung oleh pesakit mengikut destinasi ubat yang dihantar.
3. Farmasi Pandu Lalu
Pesakit tidak perlu lagi beratur untuk mengambil ubat, dan cuma perlu mengikut tarikh temujanji yang ditetapkan dan mengambil ubat secara pandu lalu tanpa perlu turun dari kenderaan anda pun!
4. SMS dan Ambil
Terhad untuk ubat ulangan sahaja, tanpa perlu beratur dan menunggu lama, pesakit hanya perlu menghantar pesanan ringkas (SMS) tentang butiran pesakit beserta tarikh dan masa yang diingini sebelum datang mengambil ubat.
Semuanya untuk memudahkan Anda!
Setiap proses memerlukan fokus dan ketepatan maklumat di samping pantas dan cepat bagi mengurangkan masa menunggu pesakit dan memenuhi KPI yang telah ditetapkan.
Sekiranya tiada sebarang masalah atau klarifikasi yang perlu dibuat, masa menunggu akan menjadi singkat namun, sekiranya tidak, inilah yang akan menyumbang kepada kelewatan pembekalan ubat ke tangan anda.
Pihak Jabatan Farmasi bukan sahaja perlu memastikan segala informasi pendispensan tepat, namun harus juga peka dengan stok-stok ubat mencukupi dengan bajet kewangan yang telah ditetapkan.
Kos Kewangan ubatan memainkan peranan yang sangat penting dalam melengkapkan kelangsungan pembekalan ubatan.
Jabatan Farmasilah yang akan menjadi agen pemantau dan menjamin pembekalan ubat yang cekap dan sekiranya perlu, memberikan cadangan ubatan alternatif yang lebih sesuai berdasarkan informasi sejarah ubatan pesakit diiringi kos kewangan yang berpatutan.
Setiap penyakit mungkin mempunyai dua atau tiga alternatif ubatan yang boleh diguna, dan Jabatan Farmasilah yang menjadi auditor pembekalan ubatan yang bersesuaian untuk pesakit dengan tepat.
Semoga dengan informasi ringkas ini boleh menambah kefahaman dalam urusan-urusan yang terlibat dan menzahirkan persefahaman antara pesakit dan pihak jabatan Farmasi.
Pastikan anda sentiasa mengambil ubat secara berkualiti.
Comments
Post a Comment